Pengikut Blog Yang Pelik-pelik Ada

Khamis, 11 Ogos 2011

Susuk

Gambaran Susuk Yang Banyak..

“SUSAH betul... macam ada benda sekat kat kerongkong ni! Tolonglah atuk!” Setiap kali sakit kuat, perkataan itu termuntah dari mulut atuk yang sudah geleber itu.

Nenek hanya menggelengkan kepala, sedangkan Azmi tergaru-garu dahinya yang tidak gatal. Memang pening dibuatnya melihat gelagat atuk melawan sakitnya.

“Tolonglah Mi... tanyakan orang, apa yang atuk kau cakap ni!” pernah nenek arahkan Azmi berikhtiar.

Memang sakit atuk pelik sikit. Kalau diikutkan logik, atuk yang berusia lebih 90 tahun itu tentu mudah perginya jika dipanggil Tuhan.

Namun, itu tidak berlaku pada atuk. Atuk sering memberi isyarat seperti ajal semakin hampir mendatanginya, cuma ada sesuatu yang menghalangnya sehingga dia berasa takut dan sakit bukan kepalang.

“Susah betul... macam ada benda menghalang!” selang seminggu atuk merungut lagi melawan sakitnya. Batuknya tersekat-sekat. Jemarinya pula asyik meraba di pangkal halkum.

“Macam ada benda sekat kat sini. Tolonglah atuk!” suara atuk sudah macam merepek, tetapi matanya yang separuh sepet tetap merenung Azmi, cucu kesayangannya.

Lebih lima tahun atuk melalui pengalaman sakit begitu. Keluar masuk hospital dan lebih 10 bomoh datang memberi pelbagai pandangan. Namun, atuk macam itu juga. Dia mengadu susah untuk pergi, walaupun mengakui ajalnya semakin dekat.

Nenek meminta Azmi berikhtiar juga. Tiada sudahnya membiarkan atuk susah begitu melawan sakit. Bagi nenek, jika atuk pergi, dia redha, cuma nenek tidak tergamak melihat atuk melawan sakit macam itu.

Azmi akhirnya patuh. Macam-macam orang ditanyanya; mengapa atuknya jadi begitu di saat-saat sakit begitu teruk.

Puas merata bertanya, akhirnya Azmi dicadangkan bertanyakan hal itu kepada seorang bekas mufti.

Azmi menceritakan hal itu pada suatu subuh selepas selesai solat berjemaah di sebuah masjid.

Banyak pandangan diterimanya, tapi dalam banyak-banyak hal itu, Azmi tertarik untuk mencuba satu cadangan yang diberikan bekas mufti itu kepadanya.

“Tengoklah kalau-kalau atuk kamu tu mungkin menyimpan sesuatu pada tubuhnya. Berusahalah, semuanya ada hikmah dalam hidup kita ini,” Azmi diberi kata perangsang.

Malam dirancangkan, Azmi memberitahu nenek sesuatu. Nenek menganggukkan kepala.

Tidak lama selepas itu, nenek tunjukkan sesuatu di bawah pelipat kaki atuk. Azmi macam tidak percaya.

Ditelitinya betul-betul pada urat di bawah pelipat kaki itu dan bila dia menyekat aliran darah, atuk tiba-tiba terbatuk dan menjerit sakit.

Azmi terpaku. Tangannya mengurut-ngurut urat yang timbul dan merasai satu jalur keras kira-kira 3 sentimeter pada urat itu. Atuk terus juga terbatuk-batuk.

Nenek berbisik ke telinga atuk sebaik batuk atuk mulai reda. Azmi melihat atuk menganggukkan kepala.

Orang pandai

“Minta orang yang pandai keluarkan benda tu, Mi!” akhirnya nenek mengarahkan sesuatu dan Azmi mulai faham.

Sebelum pergi mendapatkan bantuan orang, Azmi bertanya juga pada nenek mengenai rahsia yang nenek dan atuknya simpan berhubung barangan keras pada urat di bawah pelipat kaki itu.

“Susuk jarum kekuda!” bisikan nenek akhirnya membongkar sesuatu yang Azmi percaya ada kaitan dengan kesusahan atuk berdepan sakitnya yang berlarutan sejak sekian lama.

“Untuk apa?”

“Dulu atuk kau guru silat. Guru silat dulu-dulu kena kuat kekuda... sebab itu atuk kau pasang susuk!” Azmi bagaikan tidak percaya.

Namun, dia mesti berusaha juga kerana kasihankan atuknya yang terlalu susah berdepan sakitnya.

Lima orang kampung, termasuk bilal surau, datang menjenguk atuk malam itu. Azmi menceritakan segala-galanya.

Nenek pula pasrah. Dia rela suaminya pergi dalam keadaan aman daripada terus menjerit-jerit seperti ada sesuatu yang menghalang ajalnya.

Urat pelipat bawah kaki atuk diperiksa lagi. Memang sah. Susuk jarum kekuda rupa-rupanya masih tertanam di situ dan bilal surau yang ada sikit pengetahuan itu pun mencuba.

“Saya tak tahu pun sebelum ini, ada susuk bawah pelipat atuk kau!” beritahu bilal sewaktu memulakan tugasnya.

“Aduh... sakitnya!!” tiba-tiba saja suara atuk melaung dan melolong. Terkejut Azmi dan nenek.

Di tapak tangan bilal ada sesuatu berwarna kehitam-hitaman macam jarum dan keras sifatnya.

Masing-masing berlumba-lumba menjenguk benda asing yang ditanam dalam tubuh atuk selama ini.

Namun, mereka tidak sempat melihat lama benda asing itu kerana tidak lama kemudian nenek, Azmi dan bilal terdengar suara halus atuk seperti mengucapkan kalimah syahadah.

Suara itu perlahan, tapi tersekat-sekat. Akhirnya senyap dan nenek terus menerpa. Diciumnya kening atuk.

“Atuk kau dah tak ada, Mi!” nenek berhiba, tetapi dilawannya supaya tidak menangis di depan jenazah atuk yang baru pergi.

“Biarlah, nek. Sekurang-kurangnya atuk pergi dalam aman,” Azmi yang sedih terpaksa melawan perasaan sendiri. Bilal memujuk dan memberitahu, semua yang berlaku ada hikmahnya.

“Susuk dan benda asing tak patut dimasukkan ke dalam badan. Mungkin ia ada kaitan kenapa atuk kamu susah dan sakit begitu lama sebelum ini. Namun, semuanya kuasa Allah,” kata bilal.

Siang esoknya, jenazah atuk dikebumikan. Semua sanak saudara hadir. Namun bagi nenek dan Azmi, pemergian atuk sungguh melegakan.

Sekurang-kurangnya, atuk pergi dalam keadaan aman dan tiada lagi raung, rintih dan laung atuk melawan sakitnya lebih lima tahun berterusan.

P/S : Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan manusia dengan sebaik2 kejadian, tidak perlu lagi ditokok-tambah apa yang sedia ada pada manusia. Sesungguhnya manusia diciptakan dengan sempurna. Bagi yg tidak sempurna itu adalah ujian dari Yang Maha Esa utk hambaNya.. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Derma Untuk Pelik klik Sini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Busuk Traffic Widget

IP